Halaman

01 February 2012

Pusat Kesihatan UMT sedia khidmat ambulans



Oleh FAUZI MOHD

Pusat Kesihatan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kini dilengkapi dengan kemudahan sebuah ambulans bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan kepada lebih 7,000 warganya.

Pengarah pusat itu, Dr. Arnie A. Rahim berkata, ambulans jenama Toyota Hiace itu diubahsuai mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Katanya, kemudahan itu dapat membantu kes-kes kecemasan yang kerap berlaku melibatkan warga universiti sekali gus sebagai tanda prihatin pihak UMT terhadap mutu kesihatan pelajar dan juga kakitangannya.

“Peralatan perubatan kesihatan yang terkini disediakan setelah mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

“Memandangkan kedudukan UMT yang agak jauh dari hospital, ambulans baru ini dilengkapi ciri-ciri keselamatan moden yang mampu memberi perkhidmatan terbai, cepat dan efisyen kepada pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian ambulans itu oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman di Pusat Kesihatan universiti itu, di sini hari ini.

Tambah Dr. Arnie, pusat yang mula beroperasi tahun lalu itu turut mewujudkan beberapa unit seperti Unit Pergigian dan Unit Pengimejan Perubatan (X-ray) bagi mempelbagaikan fungsinya kepada warga UMT.

Menurutnya, dengan 26 orang kakitangan termasuk tiga orang doktor, kewujudannya selaras dengan keperluannya dalam bidang kesihatan serta pertambahan bilangan warga kampus saban tahun.

“Selain itu, Pusat Kesihatan UMT turut mempunyai beberapa unit dan kemudahan lain seperti unit kecemasan dan pesakit luar, bilik isolasi, makmal perubatan, wad umum dan bilik pemeriksaan mata.

“Bagi memastikan warga UMT mendapat faedah-faedah kesihatan secara optimum kita turut merancang untuk membuka dua unit lagi perkhidmatan iaitu hemodialisis dan fisioterapi pada masa akan datang,” katanya.

Pusat itu katanya, bersedia untuk berkongsi kemudahan perubatan yang dimilikinya dengan mana-mana kampus serta institusi perubatan lain jika berlakunya kecemasan pada bila-bila masa sahaja.

“Kita buka ruang kepada jabatan kesihatan daerah mahupun hospital besar untuk menggunakan kemudahan ini jika memerlukannya dan ia sekali gus membolehkan kerjasama di antara satu sama lain diwujudkan,” ujarnya.