Halaman

06 February 2012

RM135.5 juta harta benda awam diselamatkan tahun lalu

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu berjaya menyelamatkan harta benda orang awam bernilai kira-kira RM135.5 juta daripada musnah dalam kebakaran di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Md Salleh Sarbini berkata, sebanyak RM25.73 juta pula harta benda musnah manakala dua kehilangan nyawa dalam kejadian kebakaran sepanjang tahun lalu.

"Sepanjang tahun lalu, pihak kami menerima 2,400 panggilan di mana 815 adakah panggilan kebakaran manakala 1,544 panggilan penyelamat dan 41 panggilan khas.

"Kes kebakaran tahun lepas meningkat sebanyak 24 peratus berbanding tahun 2010 dan 67 peratus daripada punca kebakaran disebabkan litar pintas," katanya selepas majlis perhimpunan bulanan jabatan itu baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya juga menggalakkan penubuhan pasukan keselamatan kebakaran di premis-premis bagi bantuan awal jika kejadian berlaku.

Md Salleh berkata ketika ini terdapat 611 pasukan penyelamat kebakaran di premis seluruh negeri ini bagi memberi bantuan awal kebakaran sebelum pasukan bomba dan penyelamat tiba.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan memberi tumpuan membina dua buah balai bomba dan penyelamat baru di negeri ini iaitu di kawasan perindustrian Kijal, Kemaman dan Gong Badak di Kuala Nerus.

Katanya, memandangkan Kijal merupakan sebuah kawasan perindustrian, maka sebuah balai bomba baru perlu diwujudkan segera di situ manakala di Gong Badak, ia merupakan kawasan penempatan yang pesat membangun serta mempunyai pusat-pusat pengajian tinggi yang kini menerima perkhidmatan bomba dari Kuala Terengganu yang jaraknya lebih setengah jam perjalanan.

"Kawasan itu juga difahamkan akan menjadi daerah baru, maka dengan itu perlu diwujudkan sebuah balai bomba dan penyelamat yang baru di kawasan berkenaan, katanya.