Halaman

26 February 2012

Sahut cabaran MB Selangor, video pengakuan murtad didedah

Dato' Hassan Ali bersalaman dengan hadirin ketika hadir program Himpun di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, kelmarin.

Oleh FAUZI MOHD

Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Hasan Ali melalui Sekretariat Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (Himpun) mendedahkan rakaman video yang menjadi bukti kewujudan usaha memurtadkan umat Islam terutamanya di Selangor.

Rakaman pengakuan murtad seorang lelaki Melayu bersama isterinya itu dipaparkan kepada kira-kira 6,000 hadirin pada program Himpun di Stadium Negeri, Batu Buruk, semalam.

Melalui video itu, pasangan suami isteri berkenaan mengaku pernah murtad dan mengikuti majlis pembaptisan, meminum air suci dan kursus setiap minggu serta diberikan buku, kitab berkaitan dan wang ringgit.

“Maklumat berkenaan kami perolehi daripada orang yang murtad itu sendiri dan Allah memberi saya peluang menjadi saksi kepada pasangan suami isteri berkenaan kembali semula kepada Islam dengan kalimah Syahadah” dedah bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Menurut Dr. Hasan, beliau mengambil langkah tersebut kerana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menuduhnya cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan kepada rakyat kerana terlalu beria-ia sangat untuk menghapuskan gejala murtad.

Hadir sama menyampaikan ceramah pada program itu ialah bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamad Hafiz Mohd Nordin.

Rabu lalu, Abdul Khalid dilaporkan telah meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjalankan siasatan mengenai dakwaan wujudnya usaha memurtadkan umat Islam di negeri itu.

Dalam pada itu Dr. Hasan mendakwa, Malaysia kini menjadi tumpuan para pengembang agama Kristian yang datang dari seluruh dunia seperti England, Australia, Jerman dan yang paling ramai adalah dari Korea Selatan, Filipina serta Indonesia.

“Mereka datang dalam bilangan yang besar dan duduk di seluruh pelosok tempat di Malaysia. Mereka mempunyai tugasan yang sasaran mereka bukan orang Cina, bukan orang India tetapi orang Melayu Islam,” katanya.