29 Februari 2012

Sukan pupuk disiplin di setiap jabatan : Pegawai SUK

Oleh: Aida Abd Rahman

Penyertaan dalam sukan di peringkat yang lebih tinggi bukan sahaja dapat memberi pengalaman baru, malah memupuk disiplin diri dalam aspek menepati masa yang mampu diaplikasikan pula dalam tugasan harian bagi memantapkan pengurusan di setiap jabatan.

Pengurus pasukan bola jaring Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Puan Safura Mad Juhari yang juga merangkap Penolong Kanan SUK (Pengurusan Kualiti), berkata pembabitan dalam sukan bukan sahaja membentuk setiap individu lebih menepati waktu, malah mengelakkan setiap individu daripada hanya mementingkan diri sendiri.

“Apa yang lebih utama, apabila menyertai sukan yang melibatkan acara berkumpulan seprti sukan bola jaring, pastinya menuntut kepada kerjasama berpasukan dan strategi bagi menyaingi musuh.

“Sekarang buka soal kalah atau menang, apa yang paling utama memberi persembahan yang terbaik, berjuang habis-habisan dan mengikut peraturan pertandingan selain semangat kerjasama dalam satu `jentera’,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Terengganu sempena Sukan SUK Se-Malaysia Ke-4, 2012 Sarawak, di Wisma Darul Iman.

Hadir sama, Ketua Kontijen, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) dan Urusetia Kontinjen Terengganu (Penolong Setiausaha Kerajaan, Belia dan Sukan), Encik Ahmad Shahrizal Yahaya.

Kontinjen Terengganu menghantar 97 atlit dan pegawai bagi menyertai lima acara iaitu bola sepak, bola jaring, ping pong, badminton dan boling pada edisi sukan yang bermula 28 Februari hingga 4 Mac ini.

Manakala atlit boling SUK, Puan Sulaiha Sulaiman memandangkan sukan yang disertainya bukan sahaja memerlukan dia memberi tumpuan penuh kepada `objek’ utama dalam gelanggang perlawanan, malah menuntut kepada disiplin yang tinggi dalam aspek teknikal balingan.

“Saya percaya komitmen dan disiplin dalam sukan boling umpamanya dapat membentuk petugas awam yang lebih fokus dan bersistem dalam melaksanakan setiap amalan kerja.

“Sukan boling juga melatih kita sentiasa peka dan yakin dengan apa yang kita lakukan selain mampu menyerap tekanan sekeliling untuk menghasilkan persembahan yang berkualiti,” katanya.





Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...