Halaman

10 February 2012

Sultan Mizan rasmi Masjid Al-Mustaqim

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Masjid Al-Mustaqim di Kampung Gemuruh, Tepuh, Kuala Terengganu, hari ini.



Mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud Al-Muktabillah Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Khazan Che Mat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, YB. Muhammad Ramli Nuh dan Pegawai Daerah, Wan Nawawi Wan Ismail dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd. Rozali Salleh.

Selepas bertitah dan menandatangani plak perasmian, baginda kemudian menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan bersama lebih 1,000 rakyat jelata yang diimamkan Mufti Terengganu, Dato’ Dr. Alias Abdullah.



Sebelum itu, Sultan Mizan turut menyampaikan pentauliahan Ketua Pendaftar, Pendaftar, Timbalan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk seramai 10 orang serta 32 imam dan jurunikah dari Daerah Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Ahmad melalui ucapannya berkata, masjid yang dibina dengan kos RM1.8 juta itu dapat menampung kira-kira 1,500 jemaah siap sepenuhnya pada pada Ogos 2009.

Menurutnya, masjid yang terletak berhampiran pintu masuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) itu terbengkalai hampir lapan tahun sejak ia mula dibina pada 1998 bagi menggantikan masjid lama yang wujud sejak 1960-an.

“Masjid yang dibina kembali pada tahun 2008 dan siap setahun selepas itu merupakan satu daripada 130 buah masjid yang terdapat di daerah ini.

“Peruntukkkan besar oleh pihak kerajaan untuk membangunkan institusi masjid diharap menjadi lambang dan nadi kepada kemajuan serta mendokong hakikat bahawa ilmu adalah elemen dalam membangunkan sahsiah masyarakat,” katanya.

Selesai solat dan bersalaman dengan jemaah yang hadir, Sultan Mizan berkenan menyertai jamuan rakyat di perkarangan masjid itu.