Halaman

28 February 2012

Sultanah Terengganu berangkat rasmi perkhemahan pandu puteri

Oleh; Esah Abdullah

Sultanah Terengganu Tuanku Nur Zahirah akan berangkat merasmikan perkhemahan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPMCT) di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Telaga Batin, Kuala Terengganu pada 11 Mac depan.

Ketua Pesuruhjaya PPPMCT, Puan Zaini Mohd Nor berkata, perkhemahan yang berlangsung empat hari bermula 8 hingga 11 Mac depan akan disertai 600 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Kebangsaan (SK) dan guru pengiring seluruh negeri.

“Penglibatan ahli Tunas Puteri dalam perkhemahan tahun ini merupakan kali pertama diadakan sebagai pendedahan awal kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) kerana sebelumnya hanya membabitkan pelajar di SMK sahaja,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, sepanjang perkhemahan pelbagai aktiviti diadakan seperti ceramah agama, motivasi, ujian lencana kecekapan pandu puteri, ujian sijil pertolongan cemas dan ujian sijil juru masak khusus guru pengiring untuk pengiktirafan sijil kejurulatihan turut diadakan flying fox dan memanah.

“Sempena hari peringatan persatuan tahun ini bertemakan ‘selamatkan bumi kita’ satu program gotong royong bersih pantai sejauh satu kilometer akan diadakan,” katanya.

Tambahnya, perkhemahan ini merupakan program tahunan bertujuan membantu melahirkan sebuah pasukan berdisiplin, mempunyai semangat juang yang tinggi serta memupuk keseimbangan dalam akademik dan kokurikulum.

Selain itu, peserta dapat memupuk semangat jati diri, saling bekerjasama, berdikari serta meningkatkan motivasi ke arah pembentukan sahsiah diri.