Halaman

10 February 2012

TSG tidak terjejas tanpa Anuar Manan

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu Cycling Team (TSG) tidak menganggap ketiadaan Anuar Manan dalam pasukan itu untuk menghadapi Le Tour de Langkawi (LTdL) pada 24 Februari ini sebagai cabaran.



Ketua pasukan TSG, Mohd Harrif Saleh berkata, malah pihaknya yakin pasukan TSG masih utuh dan tidak terjejas dengan pelumba-pelumba yang ada sedia untuk meraih kedudukan terbaik.

"Tanpa Anuar dalam pasukan kita, tiada apa-apa terjejas, sebab kita ada tiga pelumba dari luar negara, mungkin lebih baik daripada sebelum ini (prestasi)," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Anuar, anak kelahiran Kuala Ibai, di sini tidak menyertai pasukan TSG musim ini kerana berhijrah ke pasukan divisyen dua Champion System Hong Kong.

Mohd Harrif, 29, berkata beliau dan rakan-rakan dalam pasukan TSG akan membuat yang terbaik dalam kejohanan LTdL kali ini, baik di peringkat negara mahupun Asia.

"Secara peribadi, saya sendiri menyasarkan terbaik Asia dan sedaya upaya akan dapatkan satu jersi," kata pakar perlumbaan lebuh raya itu.

Mohd Harrif berkata kali ini beliau akan bergandingan dengan adiknya Mohd Zamri Saleh, daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sekaligus akan menguatkan lagi TSG.

Sementara itu, Mohd Zamri, 23, berkata peluang untuk mewakili TSG dalam kejohanan LTdL tahun ini akan dipergunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan prestasi sendiri dan nama baik pasukan.



Pelumba ranking ke-16 Asia itu berkata tumpuan beliau sekarang ini ialah untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik, selain mengharumkan nama pasukan TSG.

"Tahun ini, bagi saya semangat lebih lagi kerana saya bergabung dengan abang. Insya-Allah kita buat yang terbaik untuk Terengganu," katanya.