Halaman

31 March 2012

4 tahun MB Bersama Rakyat



Oleh: Kamarudin Mat Akib

Masuk kampung keluar kampung...itu sebahagian tugas rutin Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang tidak pernah beliau tinggalkan sejak menerajui pemerintahan negeri ini, empat tahun lalu.

Tanpa menghiraukan hujan dan panas terik, beliau yang diiring wakil rakyat dan pemimpin kawasan terlibat serta ketua-ketua jabatan berkaitan, meninjau sistem perparitan dan jalan kampung yang bermasalah.

Selepas mengenal pasti masalah dihadapi di kawasan yang dilawati, beliau berbincang dengan ketua jabatan terlibat dan membuat keputusan secara ‘ad-hoc’ bagi membolehkan projek-projek kritikal dilaksanakan segera bagi mengatasi pelbagai masalah penduduk setempat.

Bagi kalendar 2012, bermula 6 Februari lalu, Menteri Besar berjiwa rakyat itu melawat daerah Marang, iaitu daerah pertama yang dilawati sebagai acara tahunan lawatan kerja ke daerah-daerah, bagi meninjau sistem perparitan, jalan kampung dan projek-projek kecil yang memerlukan tindakan segera.

Seperti kebiasaan, bermula dengan sarapan pagi bersama penduduk tempatan dan ketua-ketua jabatan, beliau bersarapan di sebuah gerai di depan pasar Marang.

Selepas itu, beliau terus ke pasar Marang untuk meninjau masalah peniaga di situ sambil beramah mesra dengan peniaga yang menjual pelbagai barangan harian.

Sempena lawatan ke daerah Marang, Dato’ Seri Haji Ahmad meluluskan peruntukan serta-merta RM3 juta untuk daerah itu tahun ini bagi tujuan pembinaan jalan baru dan pembesaran jalan kampung di seluruh daerah.

Peruntukan tersebut tidak termasuk projek pembesaran parit dan longkang di daerah itu yang memerlukan pembinaan segera bagi mengatasi pelbagai masalah seperti banjir kilat.

Sewaktu lawatan kerja ke daerah Kemaman pula, Menteri Besar mengumumkan lebih RM100 juta diperuntukkan bagi membina jalan baru dan menaik taraf jalan lama di seluruh negeri, agar mencapai tahap di tetapkan kerajaan.

Bagi daerah Kemaman, RM3.25 juta diagihkan untuk tujuan berkenaan membabitkan peruntukan RM1 juta untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik dan masing-masing RM750,000 untuk tiga DUN lain iaitu Kijal, Chukai dan Air Putih.

Di Hulu Terengganu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan kira-kira RM6.7 juta untuk membina tebatan banjir bagi mendalam dan melebarkan Sungai Pertang, Hulu Terengganu yang bertujuan mengelak masalah banjir di pekan Kuala Berang.

Peruntukan RM750,000 dilulsukan bagi kerja-kerja melebar, menaik taraf dan membaiki semula jalan bagi setiap DUN di daerah itu yang keseluruhannya melibatkan RM3 juta.

Di Setiu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM400,000 bagi membina semula jalan dan menambak hakisan Pantai Rhu Sepuluh di mana RM200,000 disalurkan kepada Majlis Daerah Setiu (MDS) untuk membina semula jalan dan selebihnya diperuntukkan kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) untuk menambak hakisan pantai sepanjang 200 meter.

Di Besut, Menteri Besar meluangkan masa hampir sehari suntuk untuk meninjau pelbagai projek pembangunan di sekitar daerah itu untuk mengetahui sendiri permasalahan pelaksanaan projek dan kehendak rakyat.

Masalah kelewatan pembinaan projek Jertih Souq turut mendapat perhatian beliau yang melahirkan rasa kecewa dengan kelewatan projek berharga RM70 juta itu menyebabkan peniaga tidak dapat menjalankan perniagaan.

Beliau turut meluluskan peruntukan RM6 juta untuk pembinaan jalan dan longkang di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Besut (MDB).