Halaman

18 March 2012

Berita dan maklumat wajar diperluaskan secara tepat

Oleh: Suriati Ali

Pemimpin masyarakat di negeri ini diminta menyampaikan maklumat secara berkesan dan lebih menarik supaya mudah bagi orang ramai memahaminya.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kaedah penyampaian berita juga perlu diteliti supaya tidak disalah erti serta mengelak berlakunya jurang antara penyampai dan pendengar berita.



Katanya, oleh itu, kita perlu memahami teknik komunikasi dengan baik dan menyampaikan berita itu sebaik mungkin. Jika masih menggunakan idea dan kaedah lama, mungkin tidak lagi berkesan terutama kepada golongan belia.

“Cabaran untuk menyampaikan berita kini semakin sukar kerana terdapat pihak tertentu gemar menggunakan media baru seperti blog, twitter dan sebagainya untuk menyampaikan maklumat palsu.

“Oleh itu, kita perlu bijak menilai setiap maklumat yang disampaikan kerana dibimbangi apa yang dibaca itu fitnah atau berita mengaibkan maruah seseorang iindividu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Seminar Pemantapan Pengurusan Komuniti 1 Malaysia (K1M) di Dewan Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu, malam semalam, (16 Mac).

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Puan Azizah Awang.
K1M adalah sebuah pertubuhan sukarelawan pelbagai kaum yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 6 Januari lalu, bertujuan meluaskan maklumat berkaitan dasar kerajaan kepada masyarakat setempat.