Halaman

26 March 2012

`Hapus cukai pintu’ hanya janji kosong Pas

Oleh: Aida Abd Rahman

Pas terpaksa `mencipta’ manifesto yang langsung tidak masuk akal demi menambat hati pengundi supaya memihak kepada mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Walhal setiap manifesto ciptaan mereka pernah gagal diterjemahkan ketika mereka menawan Terengganu suatu masa dulu (1999-2004), khususnya dalam isu memansuhkan cukai pintu kepada penduduk Terengganu.

“Antara lain janji awal PRU 13, jika Pas menang, cukai pintu dihapuskan. Itu suatu pembohongan.Rakyat terkeliru dan keadaan itu boleh diibaratkan `mati semut kerana gula’ , “ kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa mana-mana enakmen yang diluluskan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang didapati bercanggah dengan akta di peringkat Parlimen automatik enakmen berkenaan akan gugur.

“Ini bermakna mengikut Enakmen peringkat DUN, walaupun Pas memenangi dan memerintah Terengganu mereka sama sekali tidak boleh menghapuskan cukai pintu.

“Sebab ia tidak boleh diluluskan di DUN bagi menghapuskan cukai pintu di bawah Akta 131 kerana bercanggah dengan akta di peringkat Parlimen,” katanya.

Malah, ketika memerintah Terengganu dahulu, Pas bertindak membiarkan sahaja cukai pintu bertambun-tambun di pejabat tanah dan daerah tanpa menghantarnya kepada penduduk.

Kesannya, tanpa sumber pendapatan yang mencukupi mengakibatkan kerajaan Pas ketika itu gagal membayar elaun lebih masa kepada kakitangannya yang bertugas selepas waktu pejabat terutama bagi membersih sampah-sarap di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)masing-masing.

“ Apabila ini berlaku, kerajaan tiada duit menyebabkan sampah bertambun , cukai pintu tidak dibayar. Malah, kakitangan majlis (PBT) tidak dibayar `OT’, diganti pula dengan cuti. Itulah akibatnya,” katanya.

Demikian janji awal Pas dan pernah dilontarkan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, yang menegaskan 'ikrarnya' akan terus membantu rakyat sekiranya diberi mandat selepas PRU 13 nanti termasuklah meneruskan dasar pengecualian cukai pintu rumah kediaman.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengesyorkan, kepada mana-mana warga bandar tidak perlu membayar cukai pintu sekarang dan tunggu sehingga Pas memenangi PRU itu sedangkan sejarah lalu membuktikan dasar yang dibuat itu `memakan’ diri sendiri.