Halaman

30 March 2012

Lapor segera jika berlaku jenayah jual orang

Oleh: Suriati Ali

Masyarakat di minta supaya tidak segan silu atau takut untuk menyalurkan maklumat mengenai kes-kes pemerdagangan orang mahupun penyeludupan migran jika ia didapati benar-benar berlaku di persekitaran masing-masing.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, merangkap Naib Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Zon Timur, YB Senator Dato’ Maznah Mazlan, berkata tidakan itu merupakan satu sumbangan yang penting dalam membantu kerajaan membanteras jenayah ini secara serius.

Katanya, walaupun kebanyakan mangsa yang diperdagangkan adalah terdiri daripada warga asing, ini tidak bermakna kita tidak perlu bertanggungjawab ke atas mereka.

“Mereka juga adalah insan, bukan barang dagangan untuk dijual beli sebaliknya perlu dilindungi daripada terus menjadi mangsa kepada sindiket-sindiket yang tidak bertanggungjawab.

“Saya mengakui mungkin ramai di kalangan kita tidak memahami apa sebenarnya makna pemerdagangan orang, walaupun mungkin pernah mendengar atau membaca tentang jenayah ini,” katanya.


Beliau berkata demikian di Majlis Kempen Antipemerdagangan Orang & Pnyeludupan Migran peringkat Terengganu di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut hadiri, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Wahad Mohd Yasin dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail;

Tetamu kehormat lain, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Kira-kira 2,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan hadir pada majlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama NCWO dan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

YB Senator Dato’ Maznah, berkata isu itu agak rumit sama ada untuk mentafsirkannya dengan tepat atau mencari bukti yang kukuh untuk mengatakan sama ada seseorang itu terlibat dalam jenayah diperdagangkan atau sebaliknya.

“Apabila kerajaan meluluskan Akta Antipemerdagangkan Orang pada tahun 2007, terdapat landasan yang jelas bukan sahaja untuk menghukum penjenayah yang memperdagangkan orang ini, malahan untuk memberikan perlindungan yang sewajarnya kepada mangsa yang diperdagangkan.

“Nampaknya dalam dunia yang semakin maju dan canggih ini, bukan sahaja barangan, malahan manusia juga turut menjadi komoditi yang diperdagangkan.

Katanya, isu pemerdagangan orang ini merupakan satu jenayah yang kian meningkat pada abad ke-21 dan menjadi satu bentuk perdagangan hamba abdi moden yang tidak mengenal bangsa, agama dan keturunan.

“Ia bukan sahaja sau isu yang timbul di Malaysia, sebaliknya telah menjadi isu global membabitkan semua Negara di dunia. Mangsamangsa ini menderita akibat penderaan mental, fizikal dan seksual.

“Mereka tidak dibayar upah, terikat kerana hutang, dikurung, diugut dan dokumen perjalanan mereka juga ditahan. Wanita dan gadis dijual ke rumah pelacuran atau agen pemerdagangan seks seperti yang dilaporkan melalui akhbar dan melalui internet dan perkara ini tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja,” katanya.