Halaman

27 March 2012

MB lancar edisi khas Teganukita

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Keluaran khas Teganukita yang diterbitkan Unit Komunikasi Negeri sempena genap empat tahun pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dilancarkan di Kediaman Seri Iman, malam tadi.

Dato’ Seri Haji Ahmad melancarkan terbitan akhbar tersebut pada Majlis Silaturahim YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pesara Kanan Kerajaan yang diadakan khusus bagi meraikan bekas penjawat awam berkenaan.

Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Presiden Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan kakitangan unit berkenaan turut hadir pada majlis pelancaran tersebut.

Akhbar Teganukita keluaran khas ini memuatkan pelbagai kejayaan yang dicapai sepanjang empat tahun Dato’ Seri Haji Ahmad menerajui pemerintahan negeri ini.

Teganukita akan diedarkan ke seluruh negeri bagi membolehkan rakyat mengetahui apa yang berlaku di negeri ini sepanjang pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Menteri Besar ke-13 itu.