Halaman

21 March 2012

Pas makin hanyut, parti ajaran sesat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Tindakan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, menyatakan sokongan terhadap mana-mana pihak termasuk umat Islam dalam mengadakan kerjasama serta hubungan dengan Yahudi yang tidak berpegang kepada ideologi Zionis, ternyata menjerat parti itu.

Apa yang pasti, komen Presiden Pas yang dilihat lebih kepada usaha menjaga hubungan dengan sekutu-sekutu Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) itu semakin menyerlahkan kedudukan Pas yang semakin hanyut dan menyeleweng daripada perjuangannya menegakkan Islam.

Pelbagai wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bangkit membidas Abdul Hadi yang disifatkan mengambil langkah itu semata-mata bagi memenuhi tuntutan nafsu pemimpin PR yang gilakan kuasa.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad ketika mengulas kenyataan Presiden Pas itu berkata, adalah tidak wajar seorang ulamak membuat kenyataan sebegitu rupa kerana ia memberi implikasi negatif dan prejudis terhadap masyarakat negara ini.

Beliau mengingatkan Abdul Hadi mengenai perkataan Yahudi itu sendiri yang menggambarkan hegemoni Zionis dan Zionis itu membawa maksud negatif dalam pemikiran masyarakat.


Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Aminuddin Yahya pula menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu merupakan propaganda bagi membantu mengukuhkan hujah Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini membela kaum Yahudi, bagi menarik semula kepercayaan rakyat terhadap pemimpin yang penuh dengan kontroversi itu.

Menyedari pemimpin Pas yang semakin jauh tersesat, bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Prof Madya Mohd Noor Deris, meminta Presiden Pas supaya merujuk kembali perintah Allah dalam al-Quran yang secara terang-terang menyatakan sifat-sifat orang Yahudi yang merupakan musuh umat Islam.

Beliau meminta Abdul Hadi dan pemimpin Pas supaya tidak bermain politik dalam isu tersebut semata-mata bagi menjaga kepentingan politik mereka sehingga sanggup menggadai maruah agama, bangsa dan negara dan diperalatkan golongan tertentu yang mahu menghancurkan Islam.

Moga-moga isu ini dan tindak tanduk pemimpin Pas akan menyedarkan umat Islam yang selama ini terpengaruh dengan parti itu dan bersikap membenci kerajaan kerana pemikiran mereka diracuni pemimpin tidak bertanggungjawab itu.

Dek kerana pemikiran pemimpin Pas itu telah jauh menyimpang dari ajaran Islam, tidak hairanlah bila Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyatakan Pas merupakan parti ajaran sesat.