Halaman

23 March 2012

Pencapaian SPM calon bandar, luar bandar meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 seluruh Terengganu mengikut lokasi bandar dan luar bandar mengikut Gred Purata Negeri (GPN) meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu , Encik Hashim Mohd Zin, berkata jurang perbezaan prestasi antara bandar dan luar bandar bagi 2011 ialah 0.47 mata, berbanding 0.47 mata pada 2010.

Katanya, pencapaian calon SPM 2011 semakin baik berbanding tahun sebelumnya bagi calon di bandar dan luar bandar di mana bandar meningkat sebanyak 0.09 dan luar bandar 0.13.

Dalam perkembangan yang sama, bilangan sekolah yang mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) kategori cemerlang (0.00-2.25) meningkat daripada tujuh sekolah (5.22 peratus) pada 2010 kepada lapan sekolah (5.93 peratus) pada 2011.

“Prestasi keseluruhan sekolah-sekolah negeri Terengganu berdasarkan GPS mengikut kategori pencapaian yang mana sebahagian besar sekolah dapat dirumuskan sebagai berada dalam kategori pencapaian sekolah cemerlang, baik dan memuaskan.

“Hanya satu sekolah sahaja (0.74 peratus) yang memperoleh pencapaian `berpotensi’ (GPS 6.76-9.00). Ini menunjukkan kesan positif daripada program Bai’ah dan Tawaran Baru (New Deals) antara pihak sekolah dengan KPM dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah dari segi pencapaian akademik,” katanya.

Katanya, penglibatan para pentadbir dan guru sekolah yang memainkan peranan degan cekap dan berkesan berjaya melahirkan pelajar yang berupaya mencapai kecemerlangan akademik.

Malah, beliau juga menaruh keyakinan sekolah yang memperoleh pencapaian berpotensi mampu mempertingkatkan pencapaian akademik anak didik sekolah mereka pada masa depan dengan perancangan yang sistematik, berkomitmen dan kegigihan yang berterusan.

“Sesungguhnya perancangan yang dilaksanakan selepas mengenal pasti permasalhan dan kekurangan yang perlu diperbaiki adalah penting kerana jika gagal merancang, maka kita sebenarnya merancang untuk gagal,” katanya.