Halaman

20 March 2012

Pukat pari antara punca 11 penyu Agar mati

Oleh FAUZI MOHD

Sekurang-kurangnya 11 ekor penyu Agar ditemui mati di pantai-pantai negeri ini sepanjang tempoh dua bulan lalu.

Pegawai Komunikasi Program Marin Semenanjung Tabung Alam (WWF) Malaysia, Nadiah Rosli berkata, ia suatu yang makin membimbangkan dan menuntut kepada penguatkuasaan undang-undang lebih tegas.

Katanya, jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana perangkaan dicatatkan itu sekadar berasaskan rekod Jabatan Perikanan negeri dan laporan yang diterima daripada orang ramai.

"Tiga ekor kematian penyu oleh Jabatan Perikanan di Kuala Mercang, Pantai Kuala Abang, dan Pantai Kelulut manakala lima bangkai baru ditemui di pantai di Kijal, dua di Mengabang Telipot, Kuala Terengganu dan satu di Penarik, Setiu.

"Jabatan Perikanan mengesyaki punca kematian bagi ketiga-tiga penyu dilaporkan sebelum ini adalah disebabkan tersangkut pada peralatan menangkap ikan yang diharamkan," ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Pukat pari dengan mata pukat melebihi 25.4 sentimeter, dipercayai menjadi punca utama penyu tersangkut dan lemas.

Penggunaannya adalah tidak dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 namun difahamkan peraturan itu sukar dikuatkuasakan.

Katanya, WWF-Malaysia berpendapat insiden terbaru kematian penyu-penyu ini juga mungkin disebabkan oleh punca yang sama berdasarkan keadaan beberapa bangkai yang ditemui.

Menurut Nadiah, seorang nelayan dari Kemasek, Kemaman memaklumkan menemui satu bangkai penyu ditenggelam dengan batu yang diikat dengan tali nilon dipercayai bagi menyembunyikan perbuatan itu.

"Di Setiu pula, seekor penyu jantan telah ditemui mati dalam keadaan tengkoraknya pecah," katanya.