Halaman

14 March 2012

RM18 juta diagih kepada 6,000 bekas anggota Kemas seluruh negara

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan memperuntukan RM18 juta sebagai sumbangan ‘one off’ kepada 6,000 orang
bekas anggota Kemas seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Dato Haji Hassan Malek berkata, pemberian ini merupakan pengiktirafan tinggi kerajaan kepada bekas-bekas anggota Kemas yang setia memerah tenaga membantu meningkatkan pembangunan rakyat khususnya di luar bandar.
“Pemberian ini membabitkan mereka yang berkhidmat lima tahun dan bersih daripada tindakan tatatertib,” katanya dalam sidang media sempena majlis Penyampaian Sumbangan Khas kepada Bekas Anggota Kemas Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera; Pengarah Kemas Terengganu, Puan Nor Hazelina Hashim; Presiden Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia, Dato’ Melati Ali dan Pengerusi Persatuan Bekas Anggota Kemas negeri Haji Adam Sulong.



Katanya, daripada jumlah berkenaan, 407 orang adalah dari Terengganu membabitkan peruntukan berjumlah RM1.2 juta.

“Setakat in I tiga buah negeri termasuk negeri ini telah menerima sumbangan berkenaan iaitu Kelantan seramai 700 orang (RM2.1 juta) dan Sarawak 216 orang (RM648,000),” katanya.

Tambahnya, pengiktirafan ini diberi berdasarkan khidmat anggota Kemas yang bertaraf kontrak dan mereka tidak menikmati wang pencen selepas bersara.

Dato’ Haji Hassan kemudiannya telah menyerahkan sumbangan kerusi roda (10 buah), alat pandang dengar (10 set) lampin pakai buang dan hamper berupa keperluan harian kepada bekas anggota Kemas yang uzur.