Halaman

26 March 2012

RM23 juta bina pusat pemulihan dadah, CNC di Besut

Oleh FAUZI MOHD

Klinik Cure And Care (CNC), sebuah pusat rawatan dan pemulihan penagihan dadah bernilai kira-kira RM23 juta akan dibina di Kampung Raja, Besut tidak lama lagi, kata Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Abdul Mutalib Abdullah.

Menurut beliau, pembinaan klinik yang menempatkan 200 katil itu bagi menggantikan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang akan dirobohkan Jun ini dan siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, CNC berkonsepkan perkhidmatan rawatan secara berkala kepada penagih yang datang secara sukarela dan golongan berkenaan tidak perlu menetap di pusat berkenaan.

"Ia berbeza dengan konsep Puspen apabila penagih yang dimasukkan ke pusat itu perlu mendapat perintah Mahkamah. Tetapi pusat CNC ia lebih terbuka dengan penagih sukarela datang untuk mendapatkan rawatan," katanya semalam.

Sementara itu, Abdul Mutalib berkata di Terengganu terdapat 21,177 anggota Skuad 1Malaysia yang terdiri daripada pertubuhan dan persatuan.

Jelas beliau, antaranya ialah, Rakan Anti Dadah (Rada) melibatkan 17,654 anggota, Persatuan Alumni AADK (2,216), Masyarakat Wanita Anti Dadah (1,170), Jawatankuasa Pemulihan Dadah (144), Ahli Lembaga Pelawat (10) dan Pembimbing Rakan (13).

“Objektif kita ialah untuk menimbulkan kesedaran kepada masyarakat terutama golongan remaja dan belia mengenai kesan dadah terhadap kesihatan dan kesejahteraan.

“Kita menggerakkan Skuad 1Malaysia dan ahli komuniti bagi memerangi masalah dadah dalam komuniti mereka serta menyampaikan maklumat mengenai perkhidmatan terkini kerajaan dalam bidang rawatan dan pemulihan penagihan dadah," katanya.