Halaman

31 March 2012

RM8 juta Dana Khas Kebajikan Sosial Perubatan biayai 3,000 pesakit

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM8 juta di bawah Dana Khas Kebajikan Sosial Perubatan bagi membiayai rawatan lebih 3,000 pesakit yang tidak berkemampuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB. Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, dana yang dirintis pada 2007 itu menyediakan peruntukan RM2 juta setiap tahun.

"Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menyediakan dana tersebut bagi meringankan beban anak negeri yang tidak berkemampuan untuk membiayai rawatan dan keperluan mereka," katanya selepas melancarkan Program Gempur Subsidi Mamogram Peringkat negeri di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara negeri, Nurfarhana Lee Mohd. Zulkiflee Lee.

Menurut A. Rahman, di bawah dana tersebut, mereka dibantu termasuk pembelian peralatan seperti kaki palsu, lampin pakai buang dan bekalan susu khas.

Katanya, kerajaan negeri juga mempunyai dana penyakit kronik untuk membantu mereka yang tidak mampu membiayai kos rawatan dan ubat-ubatan mereka.

Mengenai program yang dilancarkan hari ini, beliau berkata, kerajaan negeri amat komited untuk memastikan seberapa ramai wanita di negeri ini melakukan pengesanan awal kanser payu dara melalui program subsidi mamogram yang bermula awal tahun ini dan berakhir pada 31 Julai ini.

Katanya, mereka yang berminat boleh melakukan pemeriksaan di pusat mamogram di Kuantan Medical Centre (KMC) dan Pusat Payudara Universiti Islam Malaysia (UIAM) Kuantan yang mampu menjalankan 2,600 ujian dalam tempoh enam bulan.

Menurut beliau, mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payu dara berkemungkinan menghidap penyakit tersebut selain mereka yang mendapatkan rawatan hormon dan kegemukan.

"Kanser payu dara merupakan penyakit kedua tahap bahaya selepas kanser pangkal rahim dan mengikut statistik Kementerian Kesihatan, satu daripada 19 penduduk di negara ini berisiko menghidap kanser payudara,"ujarnya.

A. Rahman berkata, kanser tersebut boleh dirawati jika dilakukan pemeriksaan lebih awal melalui pelbagai kaedah rawatan moden.