Halaman

01 March 2012

Sikap cakna jiran perlu diamalkan

Oleh; Esah Abdullah



Masyarakat diminta sentiasa peka dan mengambil tahu keadaan jiran sekeliling serta laporkan kepada ketua kampung jika ia mempunyai masalah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan tujuan meringankan beban rakyat.

“Sikap cakna dan sentiasa bertanya khabar perlu diamalkan di samping mengeratkan ikatan silatulrahim juga dapat menyelesaikan masalah berbangkit,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada seorang warga emas Abdul Razak Mamat,65, di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit semalam.

Katanya, melalui tabung penyakit kronik dan tabung Darul Iman diwujudkan khusus untuk membantu meringankan beban rakyat yang tidak berkemampuan termasuk kos rawatan, perubatan dan juga pembelian peralatan palsu.

Sementara itu, Abdul Razak yang diserang strok sejak lima bulan lalu melahirkan rasa gembira di atas sumbangan yang diberi dan memudahkan pergerakannya terutama untuk ke bilik air.

Ayah kepada 12 orang anak itu sebelum ini menanggung keluarga sebagai nelayan manakala isteri Puan Siti Esah Deraman, 58, mengambil upah di projek tanaman roselle dan tembakau di Lembah Bidong.

“Bagaimanapun, sejak akhir tahun lepas mak cik terpaksa berhenti kerja untuk menjaga suami yang terlantar sakit bagi memastikan dirinya terjaga dengan baik,” kata Puan Siti Esah.