Halaman

15 March 2012

Sokongan rakyat terhadap BN semakin padu

Oleh: Suriati Ali

Tanggapan pihak tertentu kononnya rakyat di negeri ini semakin menolak UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) disifatkan satu kenyataan yang tidak berasas dan menyimpang dari fakta yang sebenar, tegas Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, YB Khazan Che Mat.

Menurut beliau sokongan rakyat terutama di akar umbi sebenarnya semakin bertambah kerana mereka telah melihat hasil keupayaan BN yang telah membawa satu anjakan pembangunan kepada negeri berbanding masa lalu.

"Justeru kita menyifatkan kenyataan seperti ini hanyalah cubaan pihak-pihak tertentu yang semakin gelisah dengan arus sokongan semasa BN yang terus bersemarak.

"Malah dengan keupayaan BN yang ditunjangi UMNO mentadbir negeri dan membela nasib rakyat secara menyeluruh membuatkan golongan yang tersepit ini tidak senang duduk sehingga memaksa mereka mencipta dakyah palsu sedemikian rupa", katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan sokongan rakyat terhadap BN Terengganu semakin merosot hari ini.

Dakwaan songsang itu menyebut kononnya rakyat semakin muak dengan karenah pemimpin utama UMNO termasuk wakil rakyat yang dikatakan tidak memberi tumpuan kepada penduduk.

Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan karut itu, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiu seterusnya menambah, pihaknya percaya rakyat di negeri ini akan menilai rekod pentadbiran kerajaan yang ada sekarang berbanding fitnah yang dilemparkan.

"Sebab itu kita tidak hairan dengan fitnah dan dakwaan tanpa asas yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

"Malah Pemuda Terenggnau menaruh keyakinan selagi BN berjaya mentadbir dengan baik dan peka terhadap tuntutan rakyat, segala tohmahan yang dilemparkan tidak akan meninggalkan kudis", ujarnya.