Halaman

06 March 2012

Terengganu bakal perkenal program Matrikulasi Perubatan UniSZa-TATiUC

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang mengambil 60 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia Sekolah Menengah Imtiaz seluruh Terengganu yang berkelayakan mengikuti program Matrikulasi Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa)-Kolej Universiti Tati (TATiUC) tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata cadangan itu akan dibawa ke Kementerian Pengajian Tinggi minggu depan bagi mendapatkan kelulusan.

“Jika sebelum ini pelajar mengikuti kursus perubatan melalui program Foundation dan Pra Sains, kita akan gantikannya dengan memperkenal program baru, Matrikulasi Perubatan melalui gabungan kerjasama UniSZa dengan TATiUC.

“Kita akan mulakan pengambilan pertama dengan memberi keutamaan kepada 60 pelajar Imtiaz yang bertujuan melahirkan golongan doktor perubatan memiliki `islamic medical’,” katanya di Majlis Makan Tengahari Bersama Kaunselor Daerah Setiu, di Sutra Beach Resort, Setiu, semalam (5 Mac).

Hadir sama,Rektor TATiUC, Dr Rozailan Mamat.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Pengurusan TATiUC berkata, pengambilan pelajar Imtiaz bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai kumpulan profesional dalam bidang perubatan yang mempunyai ilmu agama yang tinggi, selain mampu menghafaz al-Quran.

Beliau berkata, usaha mewujudkan program baru itu bukan sahaja menekankan kepada latar belakang agama, tetapi turut menyelesaikan soal tuntutan fardu kifayah khususnya bagi meningkatkan bilangan doktor wanita di Terengganu dan Malaysia amnya.

“Kita kini berdepan dengan masalah kekurangan pakar perubatan wanita menyebabkan kebanyakan kita `terpaksa’ menggunakan perkhidmatan doktor lelaki bagi merawat kes-kes yang melibatkan sakit puan terutama bersalin.

“Mahu tidak mahu, keadaan `darurat’ sedemikian menyebabkan wanita, mahupun suami wanita terlibat perlu akur untuk dirawat oleh doktor lelaki. Oleh itu, kita berhasrat menyelesaikan masalah itu sekaligus menunaikan fardu kifayah,"katanya.

Katanya, pelajar yang dapat mengikuti program itu nanti kemungkinan dipilih berdasarkan keputusan SPM yang mencapai keseluruhan A selain menetapkan beberapa syarat lain yang akan diputuskan kelak