Halaman

29 April 2012

Anwar Ibrahim petualang – Dr Mohammad Fairus

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan petualang negara yang cuba memecah-belahkan Malaysia dan rakyatnya dengan bantuan campur tangan gerakan berhaluan kiri dari negara asing.

Penasihat Politik YAB Menteri Besar, Dr Mohammad Fairus Kharuddin, berkata beliau mempunyai bukti kukuh berhubung perkara itu kerana mendapat maklumat daripada bekas pegawai kenan tentera negara Indonesia.

“Saya terima maklumat Anwar sering berulang-alik ke Indonesia dan mengadakan pertemuan dengan gerakan Islam berhaluan kiri di negara berkenaan,” katanya ketika mendedahkan perkara itu pada Majlis Penerangan Isu-Isu Semasa di Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan pemimpin Umno tempatan.
Dr Mohammad Fairus yang juga bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, mengenali Anwar, pemimpin pembangkang itu sanggup melakukan apa saja bagi mencapai cita-citanya untuk menawan Putrajaya, termasuk meminta campur tangan dari negara asing.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk negeri ini menolak Anwar dan Pakatan Rakyat kerana pemimpin parti itu banyak melakukan kegiatan yang mengkhianati negara termasuk menganjur Perhimpunan haram Bersih.

“Sama-samalah kita pelihara kerajaan yang ada sekarang ini kerana pemimpin Barisan Nasional (BN) melakukan semua perkara yang sepatutnya disediakan kepada rakyat negeri ini,” ujar beliau.

Sementara itu, penceramah bebas, Ustaz Kamal Saidin, pula berkata pemimpin Pas yang mendakwa menegakkan Islam sebenarnya melakukan tindakan mengikut hukum mereka sendiri.

“Kecelaruan yang berlaku dalam masyarakat sekarang ini disebabkan manusia tidak menggunakan akal sebaik mungkin, tetapi mengikut kehendak mereka,” katanya.

Beliau meminta penduduk negeri ini supata tidak terpedaya dengan pemimpin Pas yang menggunakan Islam semata-mata bagi memancing undi.