Halaman

22 April 2012

Belanja RM340 setahun untuk pendidikan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menganggap masih ada agenda yang belum selesai walaupun setia berbelanja RM340 juta setahun bagi kesinambungan dan memperkasakan bidang pendidikan di Terengganu.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata kerajaan sanggup melakukan apa saja semata-mata mahu melihat anak didik Terengganu terus cemerlang mencipta nama di serata negeri dan negara.

“Melalui peruntukan itu, kita laksanakan pelbagai agenda termasuk mengeluarkan belanja untuk program e-Book yang berjumlah kira-kira hampir RM25 juta dan kelas tambahan RM3.7 juta dan pelbagai program lain.

“Berdasarkan apa yang dilaksanakan ini, tidak wajar bagi pihak pembangkang menuduh dan memfitnah kerajaan dengan menyatakan anak Terengganu terabai dalam pendidikan kerana pemimpinnya lebih sayangnya binatang di zoo,” katanya.

Katanya, demi politik mereka sanggup menabur fitnah walaupun mereka mengetahui apa yang dilaksanakan kerajaan adalah untuk kepentingan bersama.

“Pihak kami serius membangunkan bidang pendidikan dengan memberi tambah nilai kepada anak-anak negeri ini semata-mata untuk melihat mereka cemerlang dan terbilang.

“Tidak ada politik dalam isu pelajaran, semua dapat sama rata tidak kita anak orang UMNO atau orang Pas,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan terus memperkasakan bidang pendidikan dan melalui pelbagai program kesedaran patriotik dan kesetiaan kepada kerajaan memerintah dapat dipertingkatkan.

“Oleh itu kerajaan sedia ada perlu dipertahan dan dikekalkan untuk memastikan pembangunan pendidikan terus diperkasa dan pelbagai kemudahan pembelajaran dapat disalurkan kepada anak-anak kita,” katanya.