Halaman

28 April 2012

Berbohong itu kerja Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Bagi mereka yang biasa dengan orang politik, pasti tidak terkejut bila membaca kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, yang menafikan dakwaan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Muhhamad Nizar Jamaluddin kononnya Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi tentera dan meminta mereka berbuat sesuatu jika Barisan Nasional (BN) kalah Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ramai orang tahu, bukan Muhammad Nizar saja yang berbohong dalam isu tersebut, tetapi ramai lagi pemimpin Pas yang suka bercakap bohong dan mungkir janji.

Sikap berbohong dan ‘klu klek’ ini seakan-akan sudah sebati dengan pemimpin Pas. Jika bercakap atau berceramah, tidak sah jika mereka tidak menyelitkan fakta-fakta yang tidak benar mengenai pemimpin atau Kerajaan Barisan Nasional.

Itu belum masuk bab maki hamun pemimpin Umno dan BN. Pemimpin Pas sengaja mereka-reka cerita atau membuat fitnah terhadap pemimpin Umno dan BN semasa berceramah, semata-mata bagi tujuan menarik minat pendengar.

Bagi mereka tidak sedap jika tidak berbohong dan tanpa fitnah dan cerita rekaan, tidak ada modal untuk ceramah. Jika mereka menceritakan fakta sebenar, apa yang sudah dilakukan kerajaan BN, orang tidak akan tertarik lagi dengan ceramah Pas.

Begitu juga yang berlaku kepada Muhammad Nizar. Entah dari mana dia mendengar berita mengarut itu, tanpa usul periksa, terus disampaikannya dalam ceramah bagi menarik minat pendengar.

Sikap seumpama ini amat jelas bertentangan dengan ajaran islam, kerana Allah meminta umat Islam supaya menyiasat terlebih dulu berita yang disampaikan oleh orang yang fasik kepada mereka, bagi menentukan kesahihan fakta yang disampaikan.

Di Terengganu ramai pemimpin Pas yang suka berbohong bukan saja dalam ceramah, tetapi sikap tersebut terbawa-bawa hingga ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sampai satu ketika Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menggelarkan seorang wakil rakyat Pas sebagai ‘pembohong bersiri’ kerana Adun tersebut banyak kali berbohong dalam sidang DUN.

Inilah sikap dan gambar sebenar pemimpin Pas, layakkah mereka dipilih sebagai calon atau pemimpin untuk menerajui negeri atau negara?