Halaman

06 April 2012

Bilangan pesakit di hospital milik TDM meningkat

Oleh: Suriati Ali

TDM Berhad syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri mencatatkan peningkatan terhadap bilangan pesakit yang mendapatkan khidmat rawatan di hospital-hospital miliknya dalam tempoh empat tahun beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Badrul Hisham Mahari berkata, bilangan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan sangat membanggakan iaitu seramai 144,930 pesakit dilaporkan pada tahun lalu, 115,870 pesakit pada 2009 dan 2008 seramai 102, 950 pesakit,” katanya.

Katanya, TDM turut mensasarkan 100 peratus penambahan jumlah katil pesakit kepada 412 buah di semua empat hospital berkenaan pada tahun 2014 iaitu 150 katil di KMC, KTS (150), TDMC (90) dan KJMC (42).

“Selain aktiviti perladangan yang menjadi penyumbang utama keuntungan syarikat katanya, sektor kesihatan telah menyumbang sebanyak 5 peratus daripada jumlah itu setiap tahun setiap tahun dengan RM10.6 juta pada tahun lalu, RM10.6 juta (2010) dan RM8.3 juta (2009).

“TDM yang turut mengambilalih Taman Desa Medical Centre (TDMC), Kuala Lumpur pertengahan tahun lalu yakin pelaburan yang dibuat itu mampu memberi pulangan yang baik kepada syarikat,” katanya

Katanya, dalam perkembangan terbaru, TDM Berhad akan membina Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) baru membabitkan peruntukan lebih RM170 juta di Batu Burok, Kuala Terengganu.

“Hospital setinggi lapan tingkat dan dilengkapi 130 katil itu akan menggantikan KTS di Jalan Kamarudin, Kuala Terengganu yang kini beroperasi pada tahap kapasiti dan hampir maksima.

Katanya, KTS yang bakal dibina awal Jun nanti di kawasan seluas 2.4 hektar bakal menjadi sebuah hospital pakar terulung di Bandar Raya Kuala Terengganu di mana berupaya memberi rawatan kepada kira-kira 338,000 penduduk.

“KTS di Jalan Kamarudin bakal ditamatkan operasi sebaik KTS baru dapat operasi sepenuhnya kelak iaitu pertengahan 2014 nanti.

“Hospital ini akan menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang lebih sempurna dan komprehensif kerana turut menyediakan kelengkapan seperti lima dewan bedah, bilik rawatan rapi (ICU) dengan dilengkapi 12 katil dan 281 petak tempat letak kereta,” katanya.

Hospital sedia ada yang mempunyai 33 buah katil, satu ICU dengan dua buah katil dan dua dewan bedah tidak lagi kondusif, beroperasi pada tahap kapasiti atau hampir maksima.