Halaman

28 April 2012

BN mampu pertahankan Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad yakin Umno dan Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan negeri Terengganu daripada jatuh ke tangan pembangkang berikutan rakyat mula mempercayai apa yang dilaksanakan parti itu.

Katanya, kita mampu kembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN bukan sahaja kepada mereka yang tinggaldi kawasan kubu kuat BN malah di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijajah pembangkang iaitu, Manir, Batu Burok, Rhu Rendang, Ladang, Bukit Tunggal dan Bukit Payong.

“Kita bukan syok sendiri, tetapi ianya bersandarkan kepada kesedaran rakyat sendiri terhadap sandiwara dalam pakatan pembangkang, selain mengorbankan dasar perjuangan ‘Negara Islam Pas’ kepada ‘Negara Berkebajikan’ sejak bersekongkol dengan DAP dan PKR.

“BN Terengganu sudah bersedia, kita masih mempunyai ruang yang kukuh untuk mempertahankan negeri Terengganu dalam PRU ke-13 kelak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bilik gerakan Cawangan Kubang Kepong.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah; Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagia Marang, To' Puan Hajah Zaitun Mat Amin sebagai Ahli Dewan Negara dan Ketua Cawangan Kubang Kepong, Encik Nik Rosidi Megat Deraman.

Katanya, secara keseluruhannya, dengan gerak kerja yang kita atur dan sambutan dari akar umbi lebih-lebih lagi dari jentera parti secara keseluruhannya kekuatan Umno tetap terselah.
“Jentera parti perlu diperkemaskan dan semua ketua cawangan hendaklah bergerak seiring, ahli-ahli cawangan pula merupakan penentu kalah menangnya parti dalam setiap pilihanraya.

“Ketua cawangan diminta lebih dekat dengan pengundi di peringkat akar umbi dan amat arif dengan sikap dan gerak geri anak buah dalam kampung masing-masing,” katanya.

Katanya, dia yakin dengan kemampuan ketua cawangan yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk kampung dan rata-rata mereka terdiri daripada orang yang telah lama memegang jawatan berkenaan dan sudah masak dengan keadaan sekeliling,” katanya.

“Semua yang sayangkan parti dapat bekerja dengan jujur dan ikhlas serta dapat beri maklumat tepat walaupun pahit untuk diterima dimana setiap kekurangan dan kesilapan akan diperbaiki secepat mungkin,” katanya.