Halaman

14 April 2012

BN perlu mandat rakyat

Kini sudah empat tahun Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menerajui pentadbiran Negeri Terengganu yang berpaksikan slogan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”, menabur bakti kepada seluruh rakyat, tanpa mengira fahaman politik.

Dalam setiap pemberian dan program kerajaan, semua penduduk yang layak, menerima imbuhan tersebut, tidak kira mereka menyokong Umno dan Barisan Nasional atau pun parti pembangkang.

Setiap tahun agihan peruntukan yang adil dan saksama diberi kepada semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri, termasuk yang diwakili calon Pas.

Masalah rakyat seperti jalan berlubang, parit tersumbat, jambatan rosak dan pelbagai masalah lagi diselesaikan Kerajaan BN dengan segera walaupun sejak berpuluh tahun lalu penduduk di kawasan itu mengundi calon pembangkang.

Terlalu banyak peruntukan disediakan kerajaan bagi memajukan Terengganu dan hasilnya kejayaan demi kejayaan diicipta dalam banyak bidang, sekaligus menjadikan negeri ini dicemburui negeri lain.

Bukan saja pemimpin negeri ‘turun padang’ bagi meninjau masalah rakyat, tetapi pemimpin Pusat, termasuk Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, turut berbuat demikian, demi bagi memastikan rakyat menikmati segala kemudahan.

Dek kerana terlalu sayangkan rakyat, ada kalanya dengan kaki terhincut-hincut kerana kecederaan lama di lutut, Menteri Besar tetap hadir pada majlis bertemu rakyat kerana mahu mendengar segala rintihan mereka.

Sepanjang tempoh pentadbiran beliau, golongan pelajar sentiasa diberi keutamaan mendapat pelbagai kemudahan bagi melanjutkan pelajaran, termasuk di luar negara.

Ratusan juta ringgit dibelanjakan setiap tahun bagi membiayai program di bidang pendidikan dan menyediakan bantuan pelajaran dan pembiayaan pelajaran.

Menteri Besar mahu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang supaya mereka mampu menjawat pelbagai jawatan yang elok agar dapat mengubah nasib keluarga masing-masing.

Begitu cekal Dato’ Seri Haji Ahmad dan saf kepimpinan Negeri Terengganu meniti ranjau dan duri serta jalan penuh liku bagi mentadbir negeri dengan hanya satu tujuan – memberi kemudahan dan khidmat terbaik kepada rakyat Terengganu.

Bagaimapun, seperti yang sering dikatakan Menteri Besar, kerajaan negeri tidak pernah meminta balasan atas apa jua bentuk bantuan yang diberikan kepada rakyat, tetapi pemimpin BN hanya mahu rakyat membalas budi dengan memberikan undi mereka kepada BN bila tiba pilihan raya.