Halaman

10 April 2012

Dana RM700 ribu bela nasib golongan wanita

Oleh: Suriati Ali



Dana Pendahuluan Nafkah sebanyak RM700,000 yang disediakan kerajaan negeri melalui Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) mampu membela nasib golongan wanita yang diabaikan suami.

Daripada jumlah itu, lebih RM71,000 telah diagihkan kepada 31 penerima sejak dana itu diperkenalkan tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, bayaran kepada setiap mangsa atau penerima bergantung kepada keputusan mahkamah di mana mereka yang mempunyai jumlah tanggungan ramai, layak menerima kadar dana berjumlah sehingga RM6,000 seorang.

Katanya, pemberian dana seumpama ini, bukan bertujuan meringgankan beban si bapa atau si suami, sebaliknya ingin memastikan semua keperluan mangsa ditunaikan sementara suami yang dengan sengaja ingkar dengan arahan mahkamah.

“Sekalipun bayaran dana ini bersifat bayar balik tetapi bukanlah ia perlu dibayar oleh duit poket si anak atau si isteri sebaliknya ia perlu dibayar melalui bayaran balik tunggakan nafkah di suami.

“Jika mereka masih enggan membayar dana ini, si suami boleh dikenakan hukuman lebih berat iaitu dipenjarakan dengan persetujuan mahkamah,” kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dana Pendahuluan Nafkah Akaun di Mahkamah Syarikah Kuala Terengganu, hari ini.



Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya.
Seramai 17 penerima menerima dana yang membabitkan peruntukan sebanyak RM41,000 iaitu masingh-masing menerima dana berjumlah antara RM600 sehingga RM6,000, bergantung jumlah tanggungan.

Katanya, segala usaha dan komitmen kerajaan yang dilakukan ini adalah bertujuan memastikan kesejahteraan dan keharmonian rakyat.