Halaman

04 April 2012

Galak usahawan perniagaan maya

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih ramai usahawan baru yang bergiat menerusi `alam maya’ akan diwujudkan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU)bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Azmi Razik berkata perniagaan melalui internet selari dengan zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menjadi usaha terbaru YPU bagi melahirkan lebih ramai golongan usahawan yang berdaya saing.

"Perniagaan maya ini bukan sesuatu yang asing dalam dunia perniagaan sekarang ini. Ia boleh menonjolkan produk barangan yang diusahakan oleh penduduk negeri ini bagi menembusi pasaran antarabangsa," katanya.

Sehubungan itu, YPU menggesa usahawan baru supaya merebut peluang kerana terdapat lebih 100,000 rangkaian perniagaan maya di seluruh dunia serta peluang yang diwujudkan oleh YPU melalui perniagaan maya akan direbut oleh anak tempatan untuk memperbaiki taraf kehidupan.

Haji Azmi menjangka lebih 1,000 orang usahawan di Terengganu akan dilahirkan dengan mendaftar dalam perniagaan maya dalam tempoh dua tahun ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan mewujudkan peluang perniagaan dalam bidang telekomunikasi bersama sebuah syarikat telekomunikasi baru Bumiptera, Clixster, yang menjangka lebih 500 orang akan dilantik sebagai peniaga di negeri ini.

Malah, katanya YPU menyasarkan lebih 2,000 orang usahawan akan mendapat manfaat daripada perniagaan yang akan diwujudkan oleh YPU tahun ini.

Menurutnya, YPU mempunyai matlamat dan dasar untuk mendidik dan melahirkan seberapa ramai mungkin usahawan terutamanya di kalangan lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan penganggur siswazah tahun ini.