Halaman

12 April 2012

Had kelayakan terima dana raya dinaikkan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri akan menaikkan kadar had kelayakan pendapatan bulanan ketua keluarga daripada RM1,500 kepada RM2,000 bagi penerima Dana Raya tahun ini, supaya lebih ramai yang layak menerima bantuan tersebut.

Dengan kadar baru itu, bermakna ketua isi rumah yang berpendapatn RM2,000 ke bawah layak menerima bantuan menyambut Aidilfitri yang disediakan kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan berpendapatn rendah membuat persiapan menyambut lebaran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, keputusan menaikkan kadar tersebut dilakukan selaras dengan kelayakan penerima BRIM Kerajaan Pusat iaitu RM3,000 ke bawah.

“Syarat dulu mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah (layak terima Dana Raya), tapi mulai tahun ini kita naikkan kepada RM2,000,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di di Dewan Besar, Wisma Darul Iman hari ini.

Beliau berkata, borang-borang bagi memohon bantuan berkenaan akan mula diedar kepada orang ramai pada akhir bulan ini atau selewatnya awal Mei depan.

Menurutnya, penerima dana raya mungkin bertambah 10 peratus tahun ini kerana terdapat keluarga baru serta perubahan pada had kelayakan penerima.

Tahun lalu kerajaan membelanjakan RM50 juta yang diagihkan kepada 165,000 penerima dana raya di seluruh negeri.

Dana raya diagihkan dalam tiga peringkat iaitu warga emas (RM200), keluarga miskin dan orang kurang upaya (RM300) serta yang mempunyai ramai tanggungan (RM400).