Halaman

27 April 2012

Harris ketuai cabaran Le Tour de Borneo

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejohanan lumba basikal Le Tour de Borneo menyaksikan pelumba elit basikal negara, Mohd Harris Salleh menggalas tugas selaku ketua pasukan Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) dalam cabaran empat hari bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Encik Hadi Hassan berkata TSG menyenaraikan lima orang pelumba termasuk Mohd Shahrul Mat Amin, Ahmad Faiz Abdul Kadir, Mohd Nor Umardi dan Muhammad Shobry Abdullah, bagi mengintai peluang meraih kemenangan di kejohanan julung kali itu.


“Kejohanan kali ini merupakan kejohanan kelima yang disertai pasukan TSG tahun ini di bawah bimbingan jurulatih dari Perancis, Sebastien Duclos,” katanya.

Beliau berkata bagi TSG, kejohanan itu penting bagi membolehkan pelumba menimba pengalaman sebelum menyertai kejohanan lebih mencabar , iaitu Jelajah Malaysia bermula 8 hingga 13 Mei nanti.

Encik Hadi berkata sehingga Julai ini, TSG bakal menyertai 11 jemputan kejohanan di luar negara sebagai persiapan secara intensif pasukan itu bagi membentuk pelumba yang mampu menimba lebih pengalaman dan tampil lebih mantap dalam setiap cabaran di kejohanan lebih besar.

Dalam pada itu, pasukan kedua TSG kini sedang menyertai kejohanan Le Tour de Korea dari 22 hingga 29 April yang merupakan satu kejohanan terbesar di Asia.

“TSG menyenaraikan enam pelumba, Chan Jiang Je, Kim Dong Hyong, Mohd Saufi Senan, Mohd Saiful Anuar, Mohd Zamri Salleh dan Nor Amirul Fakhruddin ke kejohanan itu, manakala pengurusnya Mohd Jasmin Roslan,” katanya.

Beliau berkata TSG turut menyertai beberapa kejohanan utama sebelum ini seperti Le Tour de Langkawi, Thailand, Filipina dan Korea.