Halaman

27 April 2012

JKNT anjur Karnival Kesihatan 1Malaysia

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dengan kerjasama Hospital Besut (HB) akan menganjurkan Karnival Kesihatan 1Malaysia peringkat Negeri Terengganu di perkarangan HB.

Karnival sehari bertemakan `1Malaysia: Rakyat Sihat Negara Maju’ dan diadakan pada hari esok (28 April) itu akan dirasmikan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Liow Tiong Lai.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena karnival itu, antaranya pameran kesihatan, pemeriksaan gigi, saringan minda, derma darah, kuiz kesihatan, jualan produk hasil tani dan pertandingan mewarna serta melukis.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Anwa Sulaiman, berkata pada karnival kali ini pengunjung berpeluang melihat sendiri bagaimana pembedahan kecil yang ditayangkan secara terus dari dewan bedah HB.

Katanya, karnival cukup penting kerana mampu memberi pendedahan kepada masyarakat tentang perkhidmatan dan kepakaran yang ada serta menyampaikan maklumat kesihatan secara terus kepada pengunjung.

“Orang ramai terutama penduduk setempat dijemput hadir memeriahkan karnival di samping merebut pelbagai hadiah menarik yang disediakan penganjur,” katanya.