Halaman

28 April 2012

Kelab Motosikal Pengikut Menteri Besar

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri bercadang menyatukan semua kelab motosikal di negeri ini di bawah kelab baru yang lebih besar iaitu Kelab Motosikal Pengikut Menteri Besar jika semua program berjalan lancar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, ia sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap generasi belia bermotosikal di negeri ini.

"Menerusi kelab baru itu, pelbagai program dapat diatur dengan lebih terancang dan setiap ahli berdaftar akan dibekalkan dengan pelekat rasmi," katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Belia dan Beliawanis Bermotor di Seri Iman malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat.
Program dua hari itu telah menarik penyertaan lebih 5,000 ahli kelab motosikal dari seluruh negeri.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyerahkan insentif sebagai penghargaan kepada ahli Kelab Motosikal 71 dan meluluskan modal permulaan RM50,000 kepada kelab itu untuk membuka bengkel motosikal bagi memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka.

Katanya, pendekatan yang digunakan kerajaan negeri sejajar dengan hasrat untuk melihat golongan belia di Terengganu menjadi lebih berwawasan dan berdikari pada masa depan.

Turut menerima insentif berkenaan termasuklah Kelab Motor 69 dan Benetton.

“Kita juga merancang untuk menghimpun belia motosikal dengan skala lebih besar selepas ini. Kerajaan negeri tidak akan meminggirkan belia bermotosikal,” katanya.