Halaman

10 April 2012

Kepakaran ilmu dalam agensi perlu disatukan untuk kejayaan


Hamzah bersalaman dengan anggota JPAM


Oleh: Mohammad Ishak

Setiap ilmu yang dimiliki oleh setiap anggota dalam agensi penguatkuasaan, pertahanan dan keselamatan perlu disatukan untuk membentuk keamanan dalam masyarakat.

Timbalan ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata,adalah merupakan satu kerugian sekiranya sumber kepakaran manusia tidak berjaya disatukan dan membiarkan setiap pihak berkerja secara sendirian .

“ Untuk itu polis akan berganding bahu dengan masyarakat dan bekerjasama dengan agensi keselamatan untuk memastikan hasil yang lebih baik diperolehi dimasa depan dan disamping itu dapat menjimat perbelanjaan serta mengelakkan pembaziran sumber tenaga “, katanya ketika berucap merasmikan Program “ Team Building” Kementerian Dalam Negeri membabitkan polis, Anggota Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awan Malaysia (JPAM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di dewan Perumahan PDRM di Kampung Raja hari ini.

Menurutnya, dalam kursus yang diadakan serentak di seluruh negeri selama 7 hari bermula hari ini, seramai 420 daripada 700 anggota pertahanan dan keselamatan hadir bagi mengikuti kursus yang dikendalikan oleh Ibu pejabat Polis Daerah di tempat masing-masing.

Katanya, dari jumlah itu 100 di daerah Marang, 82 di Kuala Terengganu, 67 Hulu Terengganu, 55 Setiu, 41 Besut, 38 Dungun dan hanya 11 orang di Kemaman yang menyertainya.

Beliau berharap kursus yang akan berterusan untuk selama enam hari lagi itu akan disertai sepenuhnya oleh agansi-agensi yang terbabit dengan sasaran seramai 4,900 orang semuanya telah mengikutinya apabila tamat nanti.

Katanya, data-data menunjukkan dengan usaha kerjasama yang diadakan secara bersepadu di kalangan agensi-agensi penguatkuasa yang diterajui oleh polis kadar jenayah didapati telah menurun dari tahun ke setahun di negeri Terengganu.