Halaman

03 April 2012

Kerajaan BN tunai janji

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, membawa mesej BN sentiasa menepati janji dan meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya.

Pelbagai kejayaan dan program yang memberi manfaat kepada rakyat sepanjang tiga tahun pentadbiran negara yang diterajui Dato’ Sri Mohd Najib, membuktikan kerajaan pimpinannya tidak sekali-kali mahu membankrapkan negara dalam merangka dasar serta membelanjakan wang.

Antara kejayaan yang dicapai Kerajaan BN pimpinan beliau ialah 5.2 juta rakyat berpendapatan rendah dan sederhana menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) berjumlah RM500 bagi setiap keluarga.

Manakala 1.3 juta pelajar menerima baucar buku RM200 seorang yang bertujuan meringankan beban mereka membeli keperluan pembelajaran, sekaligus meningkatkan kecemerlangan pelajar.

Pada tahun lalu,setiap pelajar sekolah rendah dan menengah diberi bantuan persekolahan RM100 seorang, tanpa mengira taraf hidup keluarga mereka.

Di bawah pentadbiran Dato’ Sri Mohd Najib juga diperkenalkan Klinik 1Malaysia dengan bayaran caj perkhidmatan RM1 saja dan percuma bagi warga emas.

Beliau turut memperkenalkan KR1M yang menyediakan barangan runcit murah 30 hingga 40 peratus dan Menu Rakyat 1Malaysia yang menghidangkan sarapan RM2 dan makan tengahari RM4 sebagai pilihan kepada rakyat untuk berbelanja dan makan minum.

Perdana Menteri turut memperkenalkan PR1MA yang memberi peluang golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman lebih selesa di seluruh negara.

Di bawah pentadbiran Dato’ Sri Mohd Najib juga Kerajaan BN meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan membanteras gejala rasuah serta mengurangkan kadar jenayah, bagi keselesaan rakyat negara ini.

Pelbagai program yang memberi faedah kepada rakyat dilakukan Kerajaan BN dan ia bukan sekadar janji, tetapi semua kata-kata dikotakan.

Kerajaan BN tidak benjanji bulan, bintang dan cakerawala kepada rakyat, tetapi setiap janji yang dibuat mampu ditunai dan dilaksanakan segera, tanpa bertangguh.

Tidak berguna menjanjikan pelbagai perkara yang sukar dilaksanakan hingga boleh menyebabkan negara ‘tergadai’ seperti yang dilakukan parti pembangkang, tetapi ia hanya semata-mata janji kosong.

Rakyat patut menilai prestasi Kerajaan BN dan terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan saf kepimpinan BN agar kesinambungan pemerintahan BN di negara ini dapat diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.