Halaman

23 April 2012

Kerja tanah daerah baru Kuala Nerus bulan depan

Oleh FAUZI MOHD

Pembangunan daerah baru Kuala Nerus di tapak seluas 200 hektar di Gong Badak mula dilaksanakan bulan depan dengan kerja-kerja tanah yang membabitkan kos dianggarkan berjumlah RM20 juta.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, peringkat pertama di kawasan seluas 100 hektar melibatkan kerja-kerja pembinaan tapak bangunan, sistem perparitan dan kolam takungan serta jaringan jalan raya.

Menurutnya, ia bakal menjadi model pembangunan contoh yang tersusun, mesra alam dan reka bentuk bandar masa depan dengan infrastruktur terbaik seperti jalan enam lorong dan lanskap ‘bandar dalam taman’.

“Pembangunan bandar ini mengambil kira fungsinya sebelum ini sebagai kawasan paya dan tadahan banjir dengan sistem perparitan dan kolam takungan ditukar menjadi kawasan riadah dan rekreasi,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima taklimat pembangunan bandar daerah itu oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Bandar dan Desa, Mohd Anuar Maidin di Gong Badak, Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri serta Ahli Exco Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, Ahmad Razif Abd Rahman dan Khazan Che Mat.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, pembinaan pusat bandar daerah kelapan itu tidak melibatkan pengambilan balik tanah kecuali untuk pembinaan dan pembesaran tiga laluan masuk ke pusat bandar berkenaan.

“Peruntukkan untuk membina bangunan-bangunan baru seperti pejabat daerah, pejabat tanah, pejabat agama daerah dan sebagainya seperti yang ada di daerah lain akan diputuskan pada bajet tahun hadapan,” katanya.

Kuala Nerus yang terletak di kawasan Kuala Terengganu Utara membangun dengan pesat dengan kedudukannya sebagai tapak institusi pengajian tinggi dan institut kemahiran serta industri di samping wujudnya banyak projek perumahan.