Halaman

09 April 2012

Maidam kutip zakat RM17.9 juta

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berjaya mengutip zakat sebanyak RM17.9 juta sejak awal tahun hingga hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini (Januari – Mac) pihaknya mengutip zakat berjumlah RM16.7 juta.

“Dalam tempoh yang sama tahun lalu, kita hanya mengutip RM11.5 juta dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM5.2 juta berbaning tempoh yang sama tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas menerima pembayaran zakat perniagaan dari Telekom Malaysia Berhad di pejabatnya petang ini.

Katanya, jabatan mensasarkan kutipan zakat RM100 juta tahun ini dan angka itu tidak mustahil dicapai berdasarkan kutipan semasa yang semakin meningkat setiap bulan berbanding tahun lalu sebanyak RM84 juta.

“Zakat pendapatan dan perniagaan menjadi teras utama meningkatkan jumlah kutipan atau 23 peratus diikuti zakat wang simpanan,” katanya.

Tambahnya, bagi mencapai sasaran berkenaan unit promosi Maidam telah bergerak ke pusat-pusat membeli belah , pasar-pasar malam, institusi kerajaan untuk potongan gaji serta syarikat-syarikat yang baru dan lama.

“Di samping mengingatkan umat Islam terhadap tanggung jawab membayar zakat sama ada zakat pendapatan atau perniagaan juga membuat penilaian dan penjelasan kaedah pembayaran yang boleh dibuat oleh orang ramai,” katanya.



Sementara itu, Syarikat Telekom Malaysia Berhad telah membuat bayaran zakat perniagaan berjumlah RM190,977 yang disampaikan Pengurus Besarnya, Encik Badrul Hisham Bahari kepada Haji Wan Harujan mewakili Maidam.