Halaman

26 April 2012

MB gempur Wakaf Mempelam Sabtu ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan menggempur kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Sabtu ini.

Pelbagai program diatur sempena lawatan sehari pemimpin nombor satu negeri ke satu lagi DUN yang dikuasai parti pembangkang, bagi menjelaskan isu-isu semasa kepada penduduk tempatan.

Ketibaan Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud di Simpang Tok Ku, pada jam 8.15 pagi, akan disambut pemimpin Umno Bahagian Kuala Terengganu serta DUN berkenaan dan diarak ke Losong Atap Zink di mana mereka akan menikmati sarapan pagi bersama-sama penduduk tempatan di Warung Losong Atap Zink.

Selepas itu Menteri Besar akan melawat rumah beberapa penduduk kampung yang uzur dan warga emas yang memerlukan rawatan, bagi menyampaikan sumbangan.

Kira-kira jam 10.45 pagi, Dato’ Seri Haji Ahmad akan hadir di majlis Penyampaian Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat DUN Wakaf Mempelam di Masjid Losong Dato’ Amar.

Beliau juga dijadualkan hadir pada Majlis Bersama Imam, Bilal dan Guru Agama serta majlis Penyampaian Bantuan Sewa Rumah Projek Kemiskinan Bandar MBKT dan perasmian balai raya Paloh-Sungai Kiat di balai raya tersebut.

Menteri Besar dan rombongan kemudiannya akan menikmati jamuan tengah hari di balai raya tersebut bersama-sama penduduk tempatan serta menunaikan solat Zohor di Masjid Sungai Rengas.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya akan hadir di Majlis Bertindik Beramai-Ramai di balai raya Kampung Wakaf Mempelam kira-kira jam 2.45 petang dan menunaikan solat Asar di Masjid Kampung Tok Jamal.

Kira-kira jam 5 petang beliau akan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memancing di Kmapung Sungai rengas dan selepas itu menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan futsal di Kampung Durian Burung.

Menteri Besar akan menunaikan solat Maghrib dan hadir pada majlis kuliah Maghrib di Masjid Kuala bekah, sebelum menghadiri Forum Isu-Isu Semasa di sekolah Kebangsaan Pulau Rusa.