Halaman

23 April 2012

MBNT kemuka pelan jangka panjang atasi jenayah

Oleh FAUZI MOHD

Cadangan pelan jangka panjang akan dikemukan oleh Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) kepada kerajaan negeri dalam usaha bersama mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Pengerusinya, Mat Yusof Mat Ali berkata, pada masa ini modul bersesuaian yang disasarkan kepada golongan belia sedang diperincikan sebelum dikemukakan akhir tahun ini.

Katanya, mereka paling mudah terjebak dalam kegiatan negatif apabila ketiadaan pekerjaan atau banyak masa terluang yang menimbulkan kebosanan.

Menurut beliau, mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) golongan terbabit banyak melakukan jenayah seperti mencuri motosikal dan pecah rumah.

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar Pencegahan Jenayah Terhadap Wanita peringkat negeri di Dewan Tunku Abdul Rahman semalam.

Perasmian penutup seminar sehari anjuran MBNT dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Cawangan Terengganu itu disempurnakan oleh oleh Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Polis negeri, Supritendan Luqman Abdul Rahman.

Katanya, melalui pelan tersebut, beberapa mekanisme akan dicadangkan termasuk memberi peluang luas kepada golongan terbabit melibatkan diri dengan program kemahiran berdasarkan minat atau kebolehan.

"Pada masa ini kebanyakan golongan belia yang disabitkan kesalahan apabila keluar setelah menjalani hukuman kebanyakan mereka akan terjebak melakukan jenayah berulang.

"Ini kerana golongan berkenaan gagal mencari hala tuju disebabkan tiada bimbingan atau peluang kerjaya," ujarnya.