Halaman

24 April 2012

ITC rangka pelan jangka panjang pelancongan Islam

Oleh; Esah Abdullah 

Pusat Pelancongan Islam (ITC) sedang menyiapkan kajian secara menyeluruh mengenai pelancongan Islam di negara ini yang dijangka dapat diserahkan kepada Kementerian Pelancongan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Ketua Pengarah ITC, Encik Abdul Rahman Shaari berkata, kajian tersebut merupakan pelan jangka panjang yang boleh diguna pakai sehingga tahun 2020 merangkumi pelbagai aspek untuk meningkatkan pembangunan strategi yang inovatif pelancongan Islam di negara ini.

“Ia meliputi definasi pelancongan Islam sehingga kepada produk yang sesuai bagi tujuan promosi ke pasaran dunia serta perkhidmatan yang disediakan, yang mampu bersaing dengan negara-negara lain dengan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka,” katanya kepada pemberita pada Seminar Serantau Pelancongan Islam di Primula Beach Resort semalam.

Menurutnya, ITC telah melantik sebuah syarikat konsaltan untuk menyediakan pelan berkenaan dan berharap ianya akan diguna pakai oleh kerajaan dalam meningkatkan industri pelancongan khususnya yang berunsurkan Islam.

Katanya, kerajaan mensasarkan jumlah kedatangan pelancong ke negara ini meningkat kepada 36 juta orang pada tahun 2020 dan daripada jumlah itu dianggarkan lebih 32 peratus adalah pelancong dari negara-negara Islam.

Pada tahun lalu Malaysia mencatatkan kedatangan pelancong seramai 24.7 juta dan bilangan itu akan terus meningkat setiap tahun.

 Beliau berkata, pasa masa ini negara menjadi tumpuan pelancong terutama dari negara Iran, Qatar dan Arab Saudi sama ada untuk bercuti atau berbulan madu dan pulau menjadi destinasi utama pilihan mereka.

Dalam hubungan itu katanya, ITC akan sama-sama membantu kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelancong di samping meningkatkan kemudahan yang sedia ada.

 ``Ini kerana pelancong akan membuat pilihan negara yang ingin dilawati, oleh itu pemain industri perlu sentiasa peka mengenai promosi terbaru dan kreativiti dalam meyediakan kemudahann atau ketika melayan tetamu’’ ujarnya

 ITC yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pelancongan pada 2009 adalah untuk membantu kementerian dalam menjalankan kajian strategik dan maklumat pasaran mengenai pelancongan khususnya pelancongan Islam.

 Seramai 100 peserta melibatkan pelbagai latar belakang termasuk pensyarah dan penuntut institut pengajian tinggi, pengusaha pelancong, hotel dan kakitangan kerajaan menyertai seminar dua hari anjuran ITC.

Terengganu merupakan destinasi kedua dianjurkan seminar berkenaan yang bermula di Negeri Sembilan pada 16 April lalu. Selepas ini seminar tersebut akan diadakan di Johor, Perlis, Sabah dan Sarawak.