Halaman

23 April 2012

Sultan Mizan berangkat rasmi persidangan Dewan

 Sultan dan Sultanah Terengganu berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri ke-12. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh; Esah Abdullah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Kedua Belas hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Tuanku Nur Zahirah. Turut hadir Tengku Seri Temenggong Raja Tengku Baharuddin; Kerabat-kerabat Raja dan Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja.



Keberangkatan Tuanku Sultan dan Sultanah ke Sidang Dun disambut oleh Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said beserta isteri masing-masing.

Kenamaan lain yang hadir ialah Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pilis Terengganu SAC Dato’ Jamshah Mustafa serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan ketua-ketua jabatan.



 Tuanku Sultan Mizan turut berkenan memeriksa barisan kawalan kehormat daripada Unit 6, Pasukan Simpanan Persekutuan dan gabungan Brass Band Rejimen 512 (Askar Wataniah) Kem Padang Midin dan 18 RAMD.

Tuanku Sultan Mizan kemudiannya berkenan menyampaikan titah Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Kedua Belas.