Halaman

23 April 2012

Sultan Terengganu puji kepimpinan MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Esah Abdullah

 Sultan Mizan Zainal Abidin memuji kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab semasa ketiadaan baginda dalam negeri kerana menunaikan tanggungjawab sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

 “Beta juga berasa amat gembira dengan sokongan ikhlas dan kerjasama yang telah diberikan semua pihak dalam memacu pembangunan negeri.

 “Sepanjang tempoh lima tahun beta memerintah negara sebagai Seri Paduka Yang diPertuan Agong, beta sentiasa mengikuti perkembangan Negeri Terengganu dari semasa ke semasa.

 Beta sukacita Kerajaan Negeri telah memberi keutamaan tinggi dalam menangani masalah rakyat, terutama golongan miskin melalui slogan “Tradisi Membela Rakyat”.

“Berdasarkan statistik semasa, kadar kemiskinan negeri ini telah berjaya dikurangkan sehingga pada tahap 3.18 peratus pada Disember 2011,” titah baginda sewaktu merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-12, hari ini.

 Turut berangkat Sultanah Nur Zahirah dan para pembesar negeri. Hadir sama, Menteri Besar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

 Sultan Mizan turut menitahkan kerajaan negeri supaya memberi fokus khusus kepada kumpulan miskin tegar dengan usaha mentransformasikan minda mereka ke arah penjanaan pendapatan bagi membina kehidupan yang lebih baik.

 Baginda turut tertarik dengan komitmen kerajaan negeri melaksanaan pembinaan rumah kos rendah dan Rumah Mampu Milik bagi menyediakan kediaman mencukupi khususnya untuk golongan berpendapatan rendah.

 “Sepanjang tempoh 2008 hingga 2012 sebanyak 6,737 unit rumah telah dibina yang melibatkan semua daerah dengan perbelanjaan sebanyak RM659.73 juta.

 “Bakinya sebanyak 3,263 unit akan diteruskan pembinaan untuk mencapai matlamat 10,000 unit rumah yang disasarkan dalam tempoh Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu dalam tahun semasa,” titah baginda.

Baginda turut memuji langkah kerajaan negeri menubuhkan Tabung Dana Pinjaman Perumahan Rakyat bagi memberi peluang kepada rakyat yang ingin membina rumah di atas tanah milikan sendiri yang tidak mampu memenuhi syarat pembiayaan daripada institusi kewangan.