Halaman

23 April 2012

Olimpian anak Terengganu dapat duit poket RM10,000 seorang

Oleh: Aida Abd Rahman

Lima atlet Terengganu yang bakal menggalas cabaran di Olimpik London 2012 menerima `duit poket’ RM10,000 seorang dari kerajaan negeri sebagai penghargaan atas kejayaan menempah tiket untuk bersaing di kejohanan berprestij dunia itu.

 Selain habuan itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membiayai ibu atau bapa kesemua atlet berkenaan bagi mengiringi anak masing-masing sepanjang temasya itu nanti.

 Atlet berkenaan, masing-masing dua dari acara berbasikal trek, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa dan dua atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad dan Nur Shafiqah Hashim serta seorang atlet paralimpik, Muhamad Azwar Bakar (ping pong).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata insentif itu sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian yang dilakarkan kesemua atlet Terengganu itu, selain mengharapkan mereka mampu mengukir kejayaan gemilang di pentas dunia.

 “Ini merupakan penghargaan Kerajaan Terengganu tehadap anak negeri ini yang berjaya dengan cemerlang mewakili negara ke Olimpik London 2012. Duit poket RM10,000 seorang ini merupakan nilai tambah..jumlah ini tidak banyak sebenarnya.

 “Tetapi kita berharap insentif ini mampu memberi dorongan kepada anak Terengganu supaya terus cemerlang dan saya berjanji sekiranya mereka memenangi apa jua pingat (di London), selain anugerah oleh Majlis Sukan Negara, kerajaan negeri juga akan memberikan ganjaran setimpal dengan pingat yang bakal mereka perolehi yang tidak perlu saya umumkan sekarang,” katanya di sidang akhbar sempena  Majlis Penyampaian Insentif Khas Olimpian Anak Terengganu London 2012, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, teknologi dan Sumber manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin.

 Menteri Besar ketika ditanya apa bentuk ganjaran yang bakal menanti atlet berkenaan, beliau enggan mengulas lanjut, bagaimanapun berjanji akan mempertimbangkan sebarang bentuk ganjaran itu sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan atlet negeri ini.

Selain itu, Kerajaan Terengganu turut bersedia menaikkan insentif kemenangan kepada atlet Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 Pahang jika Terengganu mampu mengekalkan kejuaraan kali keempat berturut-turut dalam temasya sukan yang bermula pada 7 hingga 16 Julai ini.

Pada Sukma Ke-14 Kuala Lumpur tahun lalu, Terengganu dinobatkan juara keseluruhan dan kali ketiga berturut-turut apabila mengumpul 30 emas, sekaligus mengetepikan pencabar terdekat Selangor yang memenangi 26 emas, diikuti Johor 21 emas.

Sebelum ini, setiap pemenang pingat emas menerima RM5,000, manakala pemenang pingat perak RM3,000, diikuti pemenang pingat gangsa menerima RM2,000 seorang.