Halaman

10 April 2012

PAS ‘menikus’ dengan Ambiga, Bersih tapi boikot program anti murtad


Oleh FAUZI MOHD

Awal bulan lalu, Pesuruhjaya Pas Selangor menyatakan kepada umum berhubung pendirian Pas yang lebih mendahulukan politik berbanding pendedahan isu murtad oleh Bekas EXCO Selangor, Dato’ Dr. Hasan Ali.

Tidak lama selepas itu, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu membuktikan pendirian parti itu adalah benar dan sahih, matlamat politik didahulukan dan ancaman akidah diketepikan.

Dalam kenyataan rasmi di sidang akhbar 5 April lalu, Mat Sabu telah menyatakan kesediaan Pas untuk mengembleng tenaga ahli dan penyokongnya bagi menjayakan demonstrasi Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Saya menyeru ahli dan penyokong Pas dan Pakatan Rakyat turun beramai-ramai bagi menuntut pilihan raya yang bersih.

“Kita anggarkan kehadiran dalam setengah juta rakyat untuk menunjukkan kesungguhan rakyat hendakkan pilihan raya yang bersih dan adil,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Begitu pantas dan ‘menikus’ pemimpin Pas sebaik sahaja pertubuhan haram Bersih 3.0 mengumumkan perancangannya untuk mengadakan demonstrasi pilihanraya.

Jauh berbeza jika dibandingkan dengan sebuah NGO, Himpun kira-kira enam bulan lepas yang mengadakan perhimpunan aman anti murtad di Stadium Shah Alam, Selangor.

Usahkan kenyataan sokongan rasmi pimpinan tertinggi Pas, sedikit pun tiada galakan diberikan kepada penyokong dan ahli Pas untuk menyertai program tersebut sekalipun diketahui tujuannya ikhlas demi menyelamatkan akidah ummah.

“Presiden Pas telah menyatakan bahawa Pas tidak terlibat dalam Himpunan Sejuta Umat, oleh itu Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman mengarahkan semua ahli Pas di Selangor, agar tidak terlibat dalam himpunan tersebut,” kata kenyataan Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman pada 19 Oktober tahun lalu.