Halaman

10 April 2012

Pembangkang tabur janji kosong

Oleh: Kamarudin Mat Akib

PEMBANGKANG HANYA MAMPU TABUR JANJI KOSONG...Itu hakikat sebenar yang berlaku jika Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memerintah negara ini.

Rakyat tidak wajar mempercayai janji manis pembangkang kononnya mereka akan menghapuskan kutipan tol dan bayaran balik pinjaman pelajar yang dibuat melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) serta gaji minimum RM4,000 sebulan.

Cuba bayangkan, jika benar pembangkang diberipeluang memerintah negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih RM200 bilion setahun bagi merealisasikan janji tersebut saja.

Perbelanjaan itu tidak termasuk peruntukan pengurusan, pembinaan projek-projek pembangunan dan sosial bagi kesejahteraan rakyat seluruh negara seperti yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang ini.

Jika Kerajaan Pusat menghapuskan kutipan tol, ia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM100 bilion setahun manakala perbelanjaan untuk PTPTN berjumlah RM43 bilion.

Perbelanjaan untuk gaji minimum RM4,000 sebulan seperti yang dijanjikan oleh pembangkang pula menelan belanja RM60 bilion setahun.

Bayangkan dari punca mana ‘kerajaan angan-angan’ pembangkang mahu mengumpul dana bagi membiayai peruntukan demi bagi membolehkan mereka menunaikan janji-janji manis tersebut.

Hakikatnya, Malaysia akan muflis dalam tempoh dua tahun jika pakatan pembangkang memerintah negara ini dan menunaikan tiga perkara yang dijanjikan itu bagi memancing undi penduduk tempatan pada PRU 13.

Selama ini, Kerajaan BN mentadbir urus negara dengan berhemah dan mereka memberi subsidi dan bantuan kepada rakyat mengikut keupayan semasa kewangan negara.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan RM100 bagi setiap pelajar sekolah rendah dan menengah serta Baucer Buku 1Malaysia kepada pelajar institusi pengajian tinggi semasa membentang Bajet 2012.

Bantuan tersebut disediakan bagi meringankan beban rakyat dan ia dilakukan kerana Kerajaan Pusat mampu berbuat demikian.

Selepas pembentangan bajet tersebut, bantuan yang dijanjikan terus diberi kepada rakyat secara adil dan telus, tanpa mengira fahaman politik.

Begitu murni perjuangan BN, di mana mereka yang menyokong Pas dan parti pembangkang turut menerima bantuan berkenaan, walaupun ramai daripada penerimanya pernah memaki hamun pemimpin Pusat dan negeri.

Bagaimanapun, disebabkan dengki dan iri hati dengan kejayaan BN memerintah negara ini sejak 55 tahun yang lalu, pemimpin parti pembangkang yang sememangnya berhati busuk dan gilakan kuasa, mula menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala kepada rakyat bagi mengaburi mata mereka.

Pemimpin pembangkang mula membuat janji kosong bagi meraih undi dengan satu niat saja iaitu mahu menjatuhkan Kerajaan BN.
Itulah sebenarnya yang berlaku dan rakyat perlu faham keadaan ini. Mereka tidak perlu terpedaya dengan janji pembangkang, sebaliknya terus memberi sokongan mereka kepada BN pada PRU 13.