Halaman

22 April 2012

Pemuda Umno perhebatkan gerakan

Oleh: Suriati Ali

Pergerakan Pemuda Umno negeri ini akan terus memperhebatkan gerakan dan strategi untuk mendekati golongan muda dalam usaha meyakinkan mereka terhadap Barisan Nasional (BN) sebagai peneraju negara.

Ketua pergerakan itu, Encik Saiful Bahari Baharuddin, berkata untuk tujuan itu, program serampang dua mata yang sebelum ini telah dilaksanakan dengan jayanya akan terus dipergiatkan lagi setelah ianya menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

“Pelbagai program seperti seperti kelab permotoran di setiap Parlimen, program kebajikan, kesukanan serta lain-lain program yang menepati cita rasa golongan muda akan diteliti sebaik mungkin.

“Pendekatan itu penting dalam usaha mendekati anak-anak muda yang merupakan penentu kepada Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Katanya, pihaknya sedar golongan ini adalah faktor penentu kepada PRU dan kita juga ambil maklum bukan sahaja BN yang akan cuba mendekati golongan tersebut, malah kalangan parti-parti pembangkang.

“Sebab itulah saya tekankan tadi, pentingnya program yang menepati citarasa mereka dan bukannya program syok sendiri. Perkara ini turut diingatkan oleh pucuk pimpinan dan ianya seiring dengan prinsip Pemuda Umno itu sendiri

“Maknanya kita bukan sahaja memberi tumpuan terhadap ahli kita, tetapi kumpulan anak-anak muda yang lain,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya yakin anak-anak muda di Terengganu tetap bersama kita berdasarkan kepada apa yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Buktinya Pemuda Umno berjaya mendaftarkan hampir 90,000 pengundi baru di kalangan belia di seluruh negeri ini.

“Jumlah pendaftaran yang dikemaskini pada akhir tahun lalu itu, merupakan satu angka tertinggi yang pernah dicatatkan oleh Pemuda Umno Terengganu,” katanya.