Halaman

11 April 2012

Penempatan baru warga nelayan

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Kerajaan Negeri merancang membuka kawasan penempatan baru untuk memindahkan nelayan-nelayan di daerah Dungun ke satu kawasan seluas 24 hektar di Rantau Abang, Dungun untuk memberi peluang kepada mereka menambah pendapatan melalui bidang ternakan dan pertanian.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek pemindahan nelayan ke kawasan penempatan baru itu akan dibiayai oleh Kerajaan Pusat dengan kos sebanyak RM23 juta dan kos tambahannya akan dibiayai kerajaan negeri.

"Hasil tangkapan semakin berkurang dan ia menjejaskan pendapatan bulanan golongan nelayan. Justeru itu, kerajaan terpaksa mengambil inisiatif baru untuk membasmi kemiskinan mereka dengan menyediakan sumber ekonomi baru untuk mereka terokai sebagai pendapatan sampingan.

"Satu unit rumah akan disediakan kepada setiap keluarga dan kita akan pantau projek ternakan atau penanaman buah-buahan seperti tembikai jenis mas melon dan ternakan ayam yang dijalankan agar mereka boleh keluar dari garis kemiskinan," katanya.

Tambah beliau lagi, projek pemindahan nelayan ke kawasan penempatan baru itu akan dijadikan projek printis di Terengganu dan dijangka akan bermula pada Jun ini.

“Projek pemindahan itu akan diperluaskan ke seluruh kawasan Terengganu secara berperingkat di mana ia dapat mengubah nasib keluarga nelayan untuk menikmati kehidupan lebih selesa.

“Dengan usaha tersebut, nelayan yang berpindah ke penempatan baru dijangka dapat memperolehi pendapatan bulanan antara RM1200 hingga RM1500 hasil kerja pertanian dan penternakan yang dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said juga menggesa nelayan agar mengubah sikap untuk berdikari sendiri bagi menambah sumber pendapatan selain dibantu kerajaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan secara tunai dan merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Nelayan Kijal baru-baru ini.