Halaman

26 April 2012

Penenun songket dapat rumah baru

Oleh FAUZI MOHD

Penenun songket, Fatimah Said, 44, bersama enam sekeluarga yang tinggal sehelai sepinggang ekoran kebakaran rumah mereka di Kampung Tebakang, di sini Isnin lalu menerima khabar gembira hari ini.



Berita pembinaan rumah baru yang beharga RM53,000 itu disampaikan sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang menziarahi keluarga malang itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah.

Rumah baru yang bakal siap tiga minggu lagi merupakan sumbangan Kerajaan Negeri melalui Tabung Darul Iman sebanyak RM33,000 dan tambahan peruntukan daripada ADUN kawasan itu.



Fatimah yang kini menumpang di rumah anak saudaranya berkata, mereka mengalami kerugian ditaksir sebanyak RM124,000 termasuk peralatan menenun songket dalam kejadian pukul 4.30 petang yang berpunca daripada litar pintas.



“Tiada apa yang mampu diselamatkan kerana api marak begitu cepat. Duit belanja RM500, sehelai tenunan songket bernilai ribuan ringgit, buku sekolah anak-anak termasuklah Mykad hangus dijilat api.

“Walaupun semua harta benda musnah, saya bersyukur kerana anak bongsu saya yang berada dalam buaian ketika bumbung rumah mula berasap berjaya dibawa keluar,” kata isteri kepada penoreh getah, Tun Mamat Tun Jambol, 56.

Sementara itu Ahmad berkata, usaha itu merupakan amalan berterusan pihak kerajaan untuk memastikan setiap keluarga yang ditimpa kedukaan tidak mengalami masalah kerana ketiadaan tempat tinggal ekoran kejadian itu.

“Mangsa juga akan diberi bantuan khas untuk membeli peralatan baru menenun songket di rumah baru mereka kelak,” katanya.