Halaman

04 April 2012

Persefahaman asas perpaduan

Oleh; Esah Abdullah

Persefahaman adalah asas kepada perpaduan, tanpanya negara tidak mungkin dapat merangcang dan melaksana pembangunan untuk kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan bangsa.



Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, sikap berbaik-baik berlandaskan harta benda juga tidak mampu mengekalkan keharmonian dalam sesebuah masyarakat.

“Sikap umat Islam sebenar ialah mereka yang tidak menyakiti umat Islam lain serta tidak menyusahkan orang lain,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu, di Masjid Kampung Bukit Wan, Batu Rakit semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Tilawah, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Daerah Kuala Terengganu, Haji Mohd Ariffin Jusoh.

Katanya, Islam menganjurkan umatnya rajin bersedekah, macam-macam boleh sampaikan kepada orang dengan penuh keikhlasan malah memberi senyuman juga merupakan satu sedekah.

“Hari ini ramai orang bercakap tentang Islam serta ingin menegakkan Islam, namun dalam keghairahan bercakap mereka lupa untuk memberi senyuman kepada orang sekeliling,” katanya.

YB Haji Khazan juga meminta semua umat Islam sentiasa menjaga peradaban dalam pergaulan, menyuburkan semangat perpaduan serta tidak menyakiti hati jiran.

Seramai lapan peserta terdiri empat lelaki dan empat wanita menyertai majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu.

Seorang guru dari Kampung Seberang Takir, Abdul Alim Zakaria, 26, dan Penuntut UiTM Chendering, Nor Jannah Abdul Rahman, 21, muncul johan Qari dan Qariah dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 beserta piala pusingan.