Halaman

27 April 2012

Peruntuk RM700 juta bina 10,000 rumah

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM700 juta untuk membina 10,000 rumah kos rendah dan mampu milik bagi membolehkan rakyat negeri ini memiliki rumah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kesemua rumah itu membabitkan sebanyak 43 projek yang dilaksanakan dalam tempoh lima tahun iaitu antara 2008 hingga 2013.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu sebanyak 1,451 buah rumah sedang dibina di Kemaman manakala 500 unit lagi akan dibina di daerah itu tahun depan.


Bagi Kuala Terengganu kata Ahmad, sebanyak 2,374 unit rumah dibina di daerah itu selain 1,002 unit kediaman lain yang dibina oleh kerajaan Pusat di Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

"Di Besut pula, sebanyak 1,245 buah rumah turut dibina selain di Setiu iaitu sebanyak 133 unit, Marang sebanyak 383 unit, Dungun sebanyak 1,133 unit dan Hulu Terengganu sebanyak 626 unit," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dato’ Harun Taib (Pas-Manir) pada Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-12, semalam.

Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, kerajaan negeri turut memberi kelonggaran kepada rakyat negeri ini termasuk penjawat awam berpendapatan RM3,000 ke bawah sebagai syarat baru memohon rumah jenis itu.

"Kerajaan negeri sedar mengenai perkembangan semasa termasuk kos sara hidup yang makin meningkat, jadi kita naikkan daripada mereka yang berpendapatan RM1,200 atau RM2,000 kepada RM3,000 sebagai syarat memohon mendapatkan rumah tersebut," katanya.